Seperti yang dipanggil dengan namanya, buah oren tidak sepatutnya bertukar warna kepada ungu. Tetapi seorang ibu di Brisbane, Queensland, Australia berasa amat terkejut apabila menemui buah sitrus itu bertukar warna selepas menghidangkan sebagai snek kepada anak lelakinya yang berusia dua tahun.

Kredit : Today /Annette Moffitt

Kejadian yang amat jarang berlaku ini telah menyebabkan Annette Moffitt menjadi bimbang akan kesihatan anak lelakinya yang telah memakan oren tersebut lalu telah membawa sampel dari sisa oren berwarna ungu itu kepada pihak Jabatan Kesihatan Queensland untuk dianalisis dan membuat penyiasatan.

Annette telah membelah dua sebiji oren dengan separuh sahaja diberikan kepada anak lelaki bongsunya, Charlie. Katanya, “Separuh oren itu berada di dalam satu mangkuk bersama beberapa biji lemon, dan pada keesokan harinya semasa sedang membuat kopi, saya menyedari oren itu telah bertukar warna ungu.”

Kredit : Today/Annette Moffitt

Tambah Annette, “Saya segera mendapatkan Charlie dan memeriksa sama ada dia tidak apa-apa. Dan keadaannya baik sahaja.”

Namun Annette tidak berpuas hati kerana mahu mengetahui mengapa oren itu bertukar menjadi warna ungu lalu membawanya untuk dianalisis di jabatan kesihatan. Katanya, “Rupanya seperti seseorang telah merendam oren ke dalam dakwat, dan kami menjamin tidak pernah membuat perkara itu.”

Kredit : Today/Annette Moffitt

Ketua jabatan kimia di agensi kerajaan itu, Stewart Carswell yang biasa membuat analisis untuk sampel darah, air kencing, tanah dan ikan juga berasa teruja untuk mendapat hasil keputusan ujian ke atas oren ungu tersebut kerana ia merupakan satu kerja penyiasatan yang agak luar biasa.

Beberapa ujian kimia telah dijalankan dengan melihat di setiap sudut termasuk sumber semulajadi, kandungan logam, pewarna tiruan dan pigmen, semburan racun serangga dan lain-lain kemungkinan terdapat bahan pencemar yang berada dalam oren ungu tersebut.

Kredit : BBC

Akhirnya, Stewart Carswell dalam kenyataannya mendedahkan hasil analisis oren ungu tersebut adalah disebabkan oleh reaksi semulajadi di antara buah oren yang dibelah oleh sebilah pisau yang tajam. Dan buah oren ungu tersebut tidak mendedahkan keluarga Moffitt kepada apa-apa masalah kesihatan.

Rupa-rupanya beberapa hari sebelum hari kejadian, suami Annette telah mengasah bilah pisau dengan pengasah yang tajam, dan tindak balas semulajadi telah berlaku apabila pigmen antioksidan ‘anthocyanin’ di dalam oren telah memberi reaksi kimia ke atas zarah besi yang terdapat pada bilah pisau sehingga menyebabkan warna buah sitrus tersebut bertukar kepada ungu.

Kredit : Today /Annette Moffitt

Hasil analisis yang dikeluarkan oleh para saintis di Queensland ini telah berjaya menyelesaikan kebimbangan rakyat dan kegemparan yang melanda hasil produk buah-buahan Australia seperti yang  berlaku kepada buah melon beracun serta buah strawberi  dan epal hijau berjarum sebelum ini.

Misteri buah oren ungu yang berjaya dirungkai oleh kerajaan ini telah membuat keluarga Annette Moffitt dan keluarga lain di Australia berasa lega kerana mereka telah dipastikan selamat dan tidak terdedah kepada risiko kesihatan.

Kredit: 7 News Brisbane/Facebook

Sumber : BBC , Today7 News Brisbane/Facebook

 

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds