KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan di atas 45 pertuduhan membabitkan transaksi berjumlah RM114 juta yang dibacakan di hadapan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 19 Oktober.

Kesemua 45 pertuduhan yang dibacakan membabitkan 10 pertuduhan pecah amanah jenayah dan 8 pertuduhan menerima suapan dan upah sebagai dorongan untuk membantu beberapa syarikat mendapatkan projek membabitkan nilai berjumlah RM42 juta. Manakala 27 pertuduhan membabitkan diri dengan transaksi aktiviti haram berjumlah RM72 juta.

Kredit : Utusan Online / Roy Azis Abdul Aziz

Pertuduhan dibacakan menurut Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Kanun Keseksaan bagi kesalahan pecah amanah.

Hakim Azura Alwi membenarkan Datuk Seri Ahmad Zahid diikat jamin sebanyak RM2 juta dengan bayaran RM1 juta dijelaskan pada 19 Oktober dan bakinya diselesaikan dalam jangka masa satu minggu. Hakim juga memerintahkan supaya pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kredit : Utusan Online / Roy Azis Abdul Aziz

Mahkamah menetapkan tarikh 14 Disember 2018 bagi sebutan semula kes. Pihak pendakwaan diketuai oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala Datuk Seri Ahmad Zahid diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Kitson Foong.

Pada 18 Oktober, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penahanan ke atas Presiden UMNO itu pada jam 3.15 petang di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya berhubung siasatan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akal Budi, serta dakwaan pembayaran kad kredit peribadi menggunakan dana yayasan itu bernilai RM800,000.

Kredit : BERNAMA

Datuk Ahmad Zahid telah menolak untuk diikat jamin dan bermalam di lokap SPRM sebelum dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada jam 8 pagi, 19 Oktober untuk dihadapkan pertuduhan dengan keizinan Pejabat Peguam Negara.

Turut kelihatan pada 18 Oktober di Ibu Pejabat SPRM sebelum ketibaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi keterangan berhubung pembayaran hutang 1MDB kepada syarikat International Petroleum Investment Co (IPIC).

Sumber : The Star , Berita Harian , Utusan Online, Bernama

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds