Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pendidikan kelmarin, 18 Oktober, Agensi Kebangsaan Pendidikan Finland sedia untuk membantu Malaysia dalam memperkasakan dan memperbaiki sistem pendidikan Malaysia.

Kredit: Kosmo

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata perkara itu dimaklumkan Pengurus Besar Agensi Kebangsaan Pendidikan Finland, Olli-Pekka Heinonen dalam satu pertemuan dua hala.

Menurut kenyataan itu, Olli-Pekka Heinonen yang juga merupakan bekas Menteri Pendidikan Finland berkata sekiranya Malaysia tidak dapat menghantar wakil-wakil ke Finland disebabkan faktor kewangan dan sebagainya, Finland sedia menghantar pegawai-pegawai mereka ke Malaysia.

Kredit: Eizairi Shamsudin / New Straits Times

“Malaysia berharap kerjasama ini akan membantu kita untuk mempelajari dengan lebih mendalam pengalaman dan amalan-amalan terbaik Finland, sekali gus menggunakan pengalaman dan kepakaran dalam meningkatkan standard sistem pendidikan di Malaysia,” tambah Dr. Maszlee.

Dr. Maszlee juga berharap pertukaran idea antara kedua-dua negara ini akan meletakkan sistem pendidikan Malaysia setaraf dengan Finland.

Dr. Maszlee berkata bahawa sistem pendidikan Finland sesuai dijadikan sebagai contoh dan panduan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) selari dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan sistem pendidikan negara.

Kredit: Khairunisah Othman / New Straits Times

Bermula pada tahun 2000, sistem pendidikan Finland mengalami peningkatan yang ketara melalui pencapaian dalam peperiksaan penilaian antarabangsa melayakkan Finland menduduki carta teratas dalam daya saing pendidikan dunia.

“Peningkatan seperti ini patut dicontohi oleh Malaysia yang kini dalam hasrat untuk mengetengahkan pendidikan yang berkualiti tinggi dan menjadi negara antara tiga terbaik dalam penilaian antarabangsa seperti Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA) dan Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS).

“Pertukaran idea dan ilmu pendidikan antara Finland dan Malaysia akan menjadikan Malaysia setanding dengan Finland dalam pelbagai cabang disiplin ilmu termasuklah latihan untuk para pengajar, guru-guru, serta suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan pertukaran idea bagi pemilihan alat bantuan mengajar,” katanya. – BERNAMA

Sumber: Bernama

 

Share
Kategori: NASIONAL Pendidikan

Video Popular

Ad will display in 09 seconds