Sebagai graduan lepasan ijazah, salah satu mimpi ngeri adalah menjadi penganggur dalam jangka masa yang lama ekoran tidak berjaya mencari pekerjaan yang bersesuaian. Ada sahaja kritikan dilemparkan kepada para graduan dengan berkata mereka itu memilih kerja, namun pendapat itu disangkal oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi Penyelidikan Sarawak, Dr Abdul Rahman Deen.

Menurut beliau, lebih daripada 50,000 graduan lepasan universiti dan kolej di Sarawak tidak berupaya mencari kerja selepas sahaja mereka bergraduasi kerana diploma dan sijil yang mereka miliki tidak mendapat permintaan di dalam pasaran kerja.

Menurut Oriental Daily, Dr. Abdul Rahman menjelaskan bahawa graduan berkenaan telah memilih kos pengajian yang mempunyai permintaan yang rendah dalam pasaran kerja tempatan, menyebabkan mereka sukar untuk mencari kerja yang mereka minati walaupun dengan memiliki ijazah.

Kredit: NST

Bagi mengatasi masalah tersebut, beliau berharap pihak kerajaan akan membangunkan pelan berkesan kepada bakal graduan supaya mereka dapat memenuhi permintaan pasaran kerja semasa seterusnya berjaya mendapat pekerjaan.

“Kami berharap akan ada pelan baru supaya para graduan tidak lagi mengalami masalah mencari kerja kerana ijazah mereka tidak mendapat permintaan tinggi dalam pasaran. Walau bagaimanapun, pelajar juga harus mempertimbangkan kerjaya selain jurutera atau doktor kerana akan ada permintaan untuk kerjaya lain pada masa akan datang,” kata beliau.

Beliau menambah, ramai individu berpendapat bahawa mengikuti kelas latihan dan kemahiran TVET adalah untuk mereka yang kurang cemerlang, namun mereka yang menamatkan program tersebut lazimnya berjaya mendapat kerja kurang daripada 6 bulan kerana mereka telah didedahkan dengan praktikal dan pengetahuan dalam bidang yang ditawarkan seperti teknologi maklumat, penyelenggaraan kenderaan dan banyak lagi.  

Selain itu juga, beliau menegaskan bahawa para pelajar tidak seharusnya membiarkan diri dipengaruhi oleh rakan-rakan dalam memilih kos pengajian sebaliknya mereka perlu berfikir secara mendalam tentang kos pengajian yang mereka minati dengan meminta nasihat dan bantuan daripada guru misalnya.  

Sumber: Oriental Daily

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds