KUALA LUMPUR – Program Food Bank Malaysia yang diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di beberapa buah negeri telah berjaya menyelamatkan kira-kira 835,000 kilogram lebihan makanan daripada pembaziran dengan memberi manfaat kepada 25,000 isi rumah yang memerlukan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, program ini telah dilaksanakan di Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Johor dan Kuala Lumpur dengan sasaran membantu golongan yang memerlukan menerusi pengagihan lebihan makanan yang masih elok.

Kredit : Utusan Online

Menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh di Dewan Rakyat, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, “Projek ini merupakan satu initiatif awam bagi meningkatkan kesedaran di kalangan pengguna untuk menyediakan makanan menurut jumlah yang telah ditentukan, dan sekiranya terdapat lebihan makanan, ia akan digunakan untuk membantu golongan sasaran yang memerlukan dengan cara yang lebih sistematik.”

Ketika merasmikan program Food Bank Malaysia peringkat Wilayah Persekutuan di Wangsa Maju, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, bagi menjayakan program ini, pihak kementerian telah bekerjasama dengan beberapa pihak termasuk pengusaha hotel dan pengurusan pasar raya yang akan mengumpulkan lebihan makanan yang masih elok untuk diagihkan kepada golongan sasaran seperti golongan kurang berkemampuan, orang kelainan upaya, keluarga ibu tunggal dan warga emas.

Kredit : Faisol Mustafa / Utusan Online

Katanya, “Antara makanan yang diagihkan ialah sayur-sayuran, roti, kek serta buah-buahan dan pengagihan ini dilakukan setiap hari mengikut kawasan yang akan dipersetujui.”

Kementerian berhasrat dengan sasaran untuk memperluaskan program Food Bank Malaysia ke semua negeri di Malaysia selewat-lewatnya pada tahun hadapan. Antara rakan strategik yang telah bekerjasama dengan pihak kementerian ialah Tesco, AEON, TF Value Mart, Mydin, Lulu Hypermarket, Econsave, 99 Speedmart, Food Aid Foundation, Kechara Food Bank dan Mutiara Food Bank.

Sumber : FMT , Utusan Online

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds