ROME – Dua syarikat gergasi telekomunikasi terkemuka dunia, Apple dan Samsung telah didenda oleh pihak berkuasa Itali atas kesalahan dengan sengaja memperlahankan produk lama bagi tujuan memaksa pengguna membeli produk terbaharu mereka.

Apple telah didenda sebanyak RM48 juta (10 juta Euro), manakala Samsung dikenakan denda sebanyak RM24 juta (5 juta Euro).

Kredit : Digital Trends / Gambar Hiasan

Jurucakap pihak berkuasa Anti-Persaingan Itali dalam satu kenyataan berkata, “Kedua-dua syarikat dengan sengaja tidak memberikan kemaskini terbaru sistem operasi kepada produk lama mereka. Apple dan Samsung telah melaksanakan amalan komersial yang tidak adil dan tidak jujur.”

Menurut kenyataan itu lagi, Apple dikenakan denda lebih tinggi kerana syarikat tersebut telah gagal memberitahu para pengguna produk mereka tentang jangka hayat bateri iPhone.

Kredit : Hypebeast

Samsung pula memberitahu pemilik telefon pintar Galaxy Note 4 untuk memasang versi baru sistem operasi Android Google yang dikhususkan untuk model lebih baru, Galaxy Note 7. Akan tetapi, ia telah mengakibatkan kelambatan kepada sistem bagi model lama tersebut.

Manakala Apple memberitahu pemilik iPhone 6 supaya memasang sistem operasi yang direka untuk telefon iPhone 7, sehingga membawa masalah kepada pemilik yang memakai model lama. Kemaskini iOS telah memperlahankan kelajuan memproses apabila mengesan prestasi bateri yang tidak lagi berada pada tahap optimum bagi mengelak masalah peranti ini gagal beroperasi.

Ekoran masalah yang dihadapi dan aduan para pelanggan, pihak berkuasa Itali telah memulakan penyiasatan pada bulan Januari.

Kredit : Newsweek / Gambar Hiasan

Apple dan Samsung dalam kenyataan masing-masing berkata akan membuat rayuan ke atas denda yang dikenakan. Samsung mengeluarkan kenyataan rasmi dengan menyatakan mereka tidak memperlahankan produk lama tetapi sebaliknya sentiasa berusaha menambah fungsi baharu bagi pengguna mengalami pengalaman terbaik menggunakan produk mereka.

Kedua-dua syarikat telah diarahkan oleh pihak berkuasa Itali untuk menyiarkan deklarasi di laman web berbahasa Itali masing-masing kepada para pengguna berkenaan keputusan yang telah dibuat.

Sumber : BBC , Hypebeast , The Guardian

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds