Pakar penyelidik dari Jepun mengesahkan wabak jenis baharu iaitu influenza H7N9 tersebut berlaku apabila virus selesema burung menyebabkan mutasi genetik dan boleh dijangkiti manusia kerana ia disebarkan melalui titisan udara.

Pada tahun 2013, beberapa kes individu yang dijangkiti virus H7N9 pertama kali dilaporkan di China. Dianggarkan lebih daripada 1,500 pesakit telah dijangkiti wabak berkenaan.

Kredit: Nature

Sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Profesor Yoshihiro Kawaoka dari Universiti Tokyo telah menjalankan satu kajian dengan menggunakan sejenis binatang dikenali sebagai ferret. Hasil kajian mendapati bahawa wabak berkenaan tersebar melalui titisan udara daripada haiwan yang dijangkiti virus.

Pengkaji telah meletakkan dua ekor ferret di mana salah satunya adalah ferret yang sihat dan seekor lagi adalah ferret yang telah dijangkiti virus. Kedua-dua ferret ini telah diletakkan dalam dua sangkar berasingan dengan jurang perbezaan 7 sentimeter.

Dalam tempoh empat hari kemudian, pakar penyelidik mengesahkan bahawa ferret yang sihat itu telah dijangkiti dengan virus yang sama meskipun tiada sebarang hubungan fizikal berlaku.

Kredit: Hamster Pet Care

Bukan sahaja itu, pengkaji turut menemui kesan titisan yang mengandungi virus berkenaan pada jarak 80 sentimeter daripada ferret yang sakit itu.

Ekoran daripada hasil penyelidikan berkenaan, Profesor Kawaoka mengingatkan orang ramai bahawa virus H7N9 ini berpotensi untuk menyebabkan penyebaran wabak secara global.

Kredit: South China Morning Post

Sementara itu, kementerian kesihatan Hong Kong berjanji akan terus melakukan pemantauan sekiranya berlaku penyebaran wabak berkenaan di bandar tersebut.

Menurut Setiausaha Makanan dan Kesihatan Sophia Chan Siu-chee, pihak kerajaan telah melakukan pelbagai usaha untuk menangani penyebaran wabak berkenaan termasuklah melakukan pemantauan mengenai virus selesema burung di ladang tempatan dan juga pasar yang menjual ternakan itik dan ayam.

Kredit: The Standard

“Kami akan terus berhubung dengan pertubungan antarabangsa dan pertubuhan kesihatan bagi memahami selesema burung dan risikonya dengan lebih mendalam.”

South China Morning Post melaporkan bahawa virus berkenaan tidak disebarkan di antara manusia memandangkan tiada sebarang laporan mengenai jangkitan dari manusia ke manusia.

Sehingga 27 Oktober lalu, sebanyak 1,567 kes jangkitan virus H7N9 dengan 21 kes di Hong Kong telah dilaporkan sejak Mac 2013.

Sumber: NHK World-JapanSouth China Morning Post

Share
Kategori: GLOBAL KESIHATAN

Video Popular

Ad will display in 09 seconds