KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki hampir ditimpa maut apabila dihempap dengan tayar basikal kanak-kanak yang dibuang dari tingkat atas sebuah flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia, Kuala Lumpur sekitar jam 9.30 pagi, Jumaat lepas.

Kredit: Musa Tarmizi/Facebook

Insiden ini menyebabkan mangsa, Muhammad Iqmal Abdul Razak, 19 tahun terpaksa dikejarkan ke hospital dan menerima 15 jahitan di kepala selain mengalami luka ringan pada bahagian siku.

Kredit: Musa Tarmizi/Facebook

Menurut Iqmal, sebelum kejadian itu berlaku, dia sedang dalam perjalanan turun dari rumahnya yang terletak di tingkat enam bersama seorang rakan untuk pergi ke tempat kerja.

“Ketika berbual, tiba-tiba bahagian kepala terasa macam meletup seperti ada benda berat menimpa. Sebaik sahaja ia berlaku, saya rasa melayang seperti mahu pitam dan sakit di bahagian atas kepala.”

Jelas Iqmal lagi, dia langsung tidak mengetahui apa yang menimpa kepalanya sehinggalah diberitahu rakannya.

“Waktu itu, terus saya teringat kejadian seorang remaja meninggal dunia selepas terkena kerusi pejabat yang dibuang dari tingkat atas dan berharap nasib saya tidak sepertinya.”

Kredit: Musa Tarmizi/Facebook

Berdasarkan laporan Harian Metro, kejadian mengejutkan itu turut disaksikan oleh kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bergegas membawa mangsa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan kecemasan sebelum membuat laporan kepada pihak DBKL dan di Balai Polis Setapak.

Kredit: NSTP

Abang sulung mangsa, Muhammad Ikram Abdul Razak sempat menyatakan rasa syukur kerana objek berkenaan tidak mengena tepat di bahagian tengah kepala adiknya yang mungkin boleh mengakibatkan kematian.

“Mujur objek tayar basikal lengkap dengan besi pengikatnya tidak jatuh terpacak di kepala adik saya dan hanya menyebabkan kecederaan sahaja. Biarpun hanya cedera, saya tetap berharap agar pihak berkuasa menyiasat agar kejadian seperti itu tidak berulang.”

Tambah Ikram lagi, “Mungkin hari ini hanya cedera, esok-esok siapa tahu, ada pula yang mati terkena objek dibuang penduduk tidak bertanggungjawab.”

Sementara itu Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Noor Azmi Yusoff memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang melakukan siasatan lanjut dengan mengenal pasti saksi yang membawa Iqmal mendapatkan rawatan di hospital.

Kes juga akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Sumber: Harian MetroMusa Tarmizi/Facebook

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds