SHAH ALAM: Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah, timbalan, ketua setiausaha dan pegawai tertinggi Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri tidak lagi boleh mengambil penerbangan kelas pertama untuk lawatan luar negara. Ini adalah sebahagian daripada langkah penjimatan yang kini dilaksanakan oleh kementerian.

Datuk Saifuddin Abdullah berkata, walaupun jawatan yang disandang membenarkan mereka menaiki penerbangan kelas pertama, penerbangan kelas perniagaan adalah pilihan terbaik kerana kementerian perlu berbelanja dengan lebih berhemah.

Kredit : Sinar Harian

Menurut Saifuddin, “Kami melaksanakan perbelanjaan berjimat cermat. Sebagai contoh, menteri tidak mengambil penerbangan kelas pertama walaupun dibenarkan untuk menggunakan perkhidmatan itu. Ini adalah perkara yang dilakukan di Wisma Putra. Kami tidak boleh meminta kakitangan lebih rendah untuk turun taraf dengan apa yang mereka dapat.”

Tambah Saifuddin lagi, “Untuk lawatan luar negara, kami menggunakan bilik biasa untuk penginapan. Walaupun peruntukan membenarkan kami menginap di bilik jenis suite, tetapi bilik hanya untuk tidur saja. Tindakan ini membolehkan kami berjimat. Justeru, kami kini mengamalkan perbelanjaan berjimat cermat dan kami akan cuba menggunakan apa saja peruntukan yang diberikan kepada kami.”

Saifuddin berkata, beliau amat gembira apabila duta, pesuruhjaya tinggi dan pegawai yang bertugas di luar negara dan di Wisma Putra juga memahami dan berhati-hati dengan peruntukan masing-masing.

Kredit : The Star

Datuk Saifuddin Abdullah berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan penubuhan Tabung Kemanusiaan Yaman oleh Global Peace Mission di Kompleks Karangkraf, Shah Alam.

Saifuddin berkata, beliau berpuas hati dengan peruntukan hampir RM800 juta untuk kementeriannya seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dalam pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 November lalu.

Melalui Bajet 2018 di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini, kementerian itu menerima peruntukan sebanyak RM739 juta manakala dilaporkan sejumlah RM748 juga diperuntukan untuk Kementerian Luar pada Belanjawan 2019.

Saifuddin berkata, Kementerian Luar tidak menerima jumlah yang dimohon untuk 2019 dan melihat kemungkinan keperluan untuk meminta peruntukan tambahan pada tahun hadapan.

Kredit : The Star

Katanya “Masih lagi ada kekurangan tetapi selalunya pada pertengahan tahun, belanjawan tambahan untuk kegunaan tertentu boleh dimohon, ia sesuatu yang biasa. Seperti yang kami lakukan pada 2018, kami menerima peruntukan tambahan sebanyak RM40 juta kerana kami memohon untuk keperluan khusus dan Lim Guan Eng membenarkan permintaan itu.”

Saifuddin berkata, untuk operasi luar negara, keutamaan diberikan kepada membaik pulih kuarters kakitangan yang sudah berusia, membaiki kenderaan dan menaiktaraf sistem teknologi maklumat.

Sumber : New Straits Times, The Star 

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds