Hari jadi merupakan sesuatu yang diraikan oleh setiap individu tidak kira sama ada majlis itu disambut secara kecil-kecilan mahupun besar-besaran dengan dihadiri oleh ramai tetamu.

Sambutan hari jadi adalah sesuatu yang boleh dijadikan sebagai kenangan manis bagi menandakan anda menaiki satu tangga kecil dalam hidup menuju ke usia yang lebih dewasa.

Setiap tahun, lagu Selamat Hari Jadi akan sering kita nyanyikan atau dengari tidak kira sama ada semasa majlis hari jadi sendiri atau pun orang lain. Namun begitu, bagi seorang tukang cuci di sebuah tadika ini, dia langsung tidak berpeluang untuk mendengar lagu berkenaan kerana dilahirkan sebagai pekak.

Jadi, sebagai tanda penghargaan kepadanya, murid-murid di Tadika Hickerson, Tullahoma, Tennessee ini telah melakukan satu kejutan yang sangat istimewa dengan mempersembahkan lagu Selamat Hari Jadi di dalam bahasa isyarat khas untuk individu yang dikenali sebagai Encik James itu.

Dikhabarkan James bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-60 dan hal ini menyebabkan pengetua sekolah, Jimmy Anderson terdorong untuk mengadakan sambutan istimewa buat James.

“Encik James mengajar bahasa isyarat kepada kanak-kanak sejak dahulu hingga sekarang. Dia mengajar mereka adab yang baik dan cara untuk melayan orang dengan baik.”

Encik James juga dimaklumkan telah berkhidmat sebagai tukang cuci di sekolah berkenaan selama hampir 15 tahun! Jadi, bagi menghargai jasa yang telah ditaburkan oleh lelaki itu, pihak sekolah telah mengadakan kejutan istimewa yang pastinya akan dikenang oleh Encik James sehingga ke akhir hayatnya.

Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam bilik darjah dan disambut dengan nyanyian lagu Selamat Hari Jadi di dalam bahasa isyarat, air mata Encik James terus mengalir laju kerana terharu dengan kejutan tersebut.

Ujar Encik James, “Saya sangat terkejut. Saya sangat tersentuh. Anda tidak tahu bagaimana rasanya hidup tanpa boleh mendengar apa-apa. Tetapi, apabila melihat apa yang kanak-kanak itu lakukan, ianya sungguh indah.”

Video berdurasi 1 minit 30 saat ini pastinya akan meninggalkan kesan kepada anda kerana masih wujud ramai insan berhati mulia dan mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi di dunia ini.

Kredit: Inside Edition/Youtube

Sumber: HappiestInside Edition/Youtube

Share
Kategori: INSPIRASI VIDEO

Video Popular

Ad will display in 09 seconds