BENGKULU – Sebuah pesawat Lion Air JT 633 yang ingin membuat perjalanan dari Bengkulu-Jakarta terpaksa membatalkan penerbangannya apabila terlibat dalam insiden melanggar lampu tiang koordinat ketika mahu berlepas pada malam Rabu (7 November).

Menurut jurucakap syarikat penerbangan berkenaan, “Insiden itu telah menyebabkan sayap kiri pesawat terbabit mengalami kesan lekuk. Jadi, kami terpaksa membatalkan penerbangan itu atas faktor keselamatan”.

Insiden kemalangan ini turut menyebabkan kelewatan bukan sahaja kepada syarikat penerbangan Lion Air tetapi juga Batik Air.

Kejadian berkenaan dilaporkan berlaku ketika pesawat sedang menuju ke laluan keluar landasan sekali gus menyebabkan kesemua penumpang diminta untuk kembali ke ruangan menunggu di terminal Lapangan Terbang Fatmawati Soekarno.

Beberapa penumpang yang berada di tempat kejadian turut mengongsikan gambar-gambar kerosakan pada sayap pesawat Lion Air JT 633 dan juga video di media sosial.

CNN Indonesia melaporkan bahawa kesemua 143 penumpang yang ingin membuat perjalanan ke Jakarta itu telah digantikan dengan pesawat yang lain.

Kredit: Bos Muda II/Facebook

Sumber: Astro Awani, Tribun-BaliBos Muda II/Facebook

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds