Kita pernah dikejutkan dengan berita Puteri Noriko yang sanggup melepaskan taraf kerabat diraja semata-mata untuk sehidup semati dengan pilihan hatinya yang merupakan rakyat biasa. Kali ini, Puteri Ayako pula mengikuti jejak langkah kakaknya.

Puteri Ayako berusia 28 tahun dan merupakan anak perempuan ketiga mendiang sepupu Maharaja Akihito, Putera Takamado, berkahwin dengan Kei Moriya, 32, seorang kakitangan syarikat perkapalan Nippon Yusen. Majlis perkahwinan mereka secara tradisional diadakan di Kuil Meiji, Tokyo bagi menghormati semangat moyangnya, Maharaja Meiji.

Kredit: LAD

“Saya gembira berkahwin dan dihadiri ramai orang yang mengucapkan tahniah kepada kami,” kata Ayako pada sidang media selepas majlis perkahwinan secara tertutup itu.

Pada majlis itu, Ayako dilihat tampil mengenakan kimono berwarna kuning muda yang dipasangkan dengan hakama atau seluar berwarna unggu yang merupakan pakaian yang sama digunakan oleh Puteri Mako ketika perkahwinannya dengan gaya rambut bangsawan sementara pengantin lelaki memakai tuksedo hitam dengan seluar kelabu. Topi hitam sutera kepunyaan mendiang ayahanda Puteri Ayako juga turut dipakai oleh Kei Moriya.

Kredit: LAD

Menurut tradisi diraja Jepun, jika wanita daripada keluarga diraja mengahwini orang biasa, serta-merta status diraja pada diri mereka akan lucut. Walau bagaimanapun, lelaki berketurunan raja boleh berkahwin dengan orang biasa dan masih kekal dalam keluarga diraja.

Kredit: LAD

Ayako terpaksa melepaskan status kerabat dirajanya kerana berkahwin dengan rakyat biasa. Beliau akan dikenali sebagai Ayako Moriya.

Walaupun Ayako tidak akan menerima elaun diraja, tetapi beliau akan menerima pampasan sekitar $950,000 (kira-kira RM4 juta) untuk kegunaan kos sara hidup daripada kerajaan Jepun.

Kredit: LAD

Keluarga diraja Jepun berdepan kekurangan pewaris lelaki. Putera Mahkota Naruhito akan mengambil alih takhta selepas bapanya, Akihito turun takhta tahun depan.

Saudara lelakinya, Fumihito, anak saudaranya, Hisahito serta Masahito iaitu saudara lelaki maharaja terkini ialah empat pewaris lelaki terakhir.

Sumber: LAD

 

 

 

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds