KOTA KINABALU – Status Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah dikekalkan setelah Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak kesemua kes saman oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman terhadap Syafie.

Kredit: Bernama

Sekitar jam 4.10 petang semalam (7/11/2018) Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Yew Jen Kie telah memberikan keputusannya terhadap saman pemula yang dikemukakan oleh Musa. Musa dilaporkan telah mencabar pelantikan Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu dan mendakwa dirinya masih Ketua Menteri Sabah yang sah.

Ekoran keputusan mahkamah ini, Musa telah diperintahkan untuk membayar kos guaman sebanyak RM15,000 kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan RM15,000 lagi kepada Shafie.

Keputusan berkenaan diambil setelah Hakim Mahkamah Tinggi mendengar hujahan daripada peguam Tengku Fuad Tengku Ahmad dan juga S. Vanugopal yang mewakili Musa manakala Shafie pula diwakili Datuk Douglas Lind. Sementara itu, Tun Juhar pula diwakili Peguam Besar Negeri Datuk Zaleha Rose Pandin.

Kredit: Utusan Borneo

Menurut Jen Kie, Tan Sri Musa Aman telah kehilangan keyakinan daripada majoriti anggota Dewan setelah enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah daripada Barisan Nasional (BN) beralih arah dan menyatakan sokongan mereka terhadap Shafie.

Malah, Yang Dipertua Negeri Sabah juga telah menggunakan kuasa beliau mengikut Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri Sabah di atas pelantikan Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu menggantikan Musa yang tidak lagi memperoleh keyakinan majoriti ADUN.

“Sejajar dengan Perkara 7(1) Perlembagaan Negeri Sabah, Musa wajib berundur atau mengosongkan jawatan itu apabila beliau hilang penguasaan terhadap majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN).”

 

Kredit: MySuara.Net

Jelas Jen Kie lagi, “Berlandaskan sebab di atas, maka saya menolak saman pemula plaintif (Musa) untuk mencabar pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri.”

Menurut laporan Bernama, Tan Sri Musa telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada tanggal 10 Mei lalu setelah memperoleh kemenangan mudah pada Pilihanraya Umum Ke-14. Bagaimanapun, beliau telah kehilangan majoriti apabila beberapa ADUN daripada parti UMNO dan parti komponen BN mengubah pendirian dan menyokong Shafie yang memimpin Parti Warisan Sabah.

Sumber: Astro AwaniBernama

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds