KUALA LUMPUR – Menghidap kanser hidung bukanlah satu penghalang buat jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei untuk meneruskan karier dan impiannya dalam memburu pingat sulung sukan Olimpik di Tokyo nanti.

“Kanser bukan penghalang untuk saya beraksi di Sukan Olimpik Tokyo, emas tetap menjadi keutamaan saya. Saya akan cuba kembali secepat mungkin ke gelanggang selewat-lewatnya Disember ini. Sekarang, saya hanya menjalani latihan di rumah.”

Kredit: The Malaysian Times

Beliau berkata demikian dalam sesi sidang media khas yang diadakan di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara sekali gus menamatkan segala spekulasi yang menyatakan beliau mungkin akan menamatkan kerjaya dalam arena badminton dan bersara.

Turut hadir dalam sidang media berkenaan adalah Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan Setiausaha Agung BAM, Datuk Ng Chin Chai.

Kredit: Kosmo

Pada Julai lalu, pemain badminton nombor satu negara yang berusia 36 tahun itu disahkan menghidap kanser hidung tahap awal dan telah mendapatkan rawatan di Taiwan selama lebih dua bulan. Kini, beliau dilaporkan sudah kembali sihat dan bebas daripada kanser tersebut.

Tambah Chong Wei lagi, “Namun, saya perlu menjalani rawatan setiap tiga bulan di Taiwan bagi memastikan tahap kesihatan saya berada di dalam keadaan yang baik.”

Malah, beliau juga kelihatan lebih sihat dan ceria serta lega apabila disahkan bebas kanser setelah menjalani sebanyak 33 kali rawatan.

Kredit: Kosmo

“Penyakit ini bukan masalah kecederaan fizikal biasa dilalui atlet lain tetapi ia melibatkan kesihatan dalaman yang sangat digeruni sesiapa sahaja. Seperti orang lain, saya juga berasa hilang semangat, tidak selera makan dan tidak boleh tidur apabila tahu ada kanser.”

“Terima kasih kepada semua peminat, keluarga dan persatuan yang sentiasa mendoakan kesihatan saya serta memberi sokongan dan semangat terutamanya ketika saya menghadapi ujian paling sukar dalam hidup apabila menghidap kanser.”

Wira badminton negara ini turut kelihatan bersemangat untuk kembali semula ke gelanggang dan mencipta lebih banyak kejayaan buat negara sebaik sahaja mendapat kebenaran daripada doktor.

Kredit: Astro Awani

Kata Chong Wei, “Saya tidak mahu berhenti lagi. Pingat emas Sukan Olimpik sentiasa menjadi impian saya. Buat apa bertanding di Sukan Olimpik kalau mahu kalah, semua orang idamkan pingat emas Olimpik.”

Sumber: KosmoAstro Awani, The Malaysia Times

Share
Kategori: GLOBAL INSPIRASI SUKAN

Video Popular

Ad will display in 09 seconds