Seorang peniaga pasti menghadapi dilema apabila pada ketika perniagaannya terus kekal maju, dirinya dihimpit kesukaran membahagikan masa menjaga perniagaan dan menguruskan hal peribadi apabila salah seorang ahli keluarga jatuh sakit dengan menghidap penyakit kronik.

Sebuah kedai donat di Seal Beach, California sentiasa menjadi tempat kegemaran masyarakat setempat mendapatkan donat yang enak selama 30 tahun. Selama 3 dekad, Donut City menjadi begitu terkenal di pekan itu sehingga ia mempunyai ramai pelanggan yang setia.

Kredit: CBS Los Angeles/Youtube

Pemiliknya John Chhan yang berasal dari Kemboja bersama isterinya, Stella menguruskan kedai donat tersebut dengan baik sejak dari mula ia dibuka sehingga mendapat tempat di hati masyarakat setempat. Walau bagaimanapun, Stella dilihat tidak kelihatan untuk beberapa waktu dan para pelanggan yang datang mula bertanya-tanya apa yang telah berlaku.

Beberapa orang pelanggan setia telah mendapat tahu Stella menghidap penyakit aneurisme, iaitu penyakit yang berkaitan saluran darah yang membengkak. Disebabkan penyakit ini, Stella tidak lagi dapat bekerja di Donut City bersama suaminya, John.

Kredit: CBS Los Angeles/Youtube

John menguruskan Donut City sendirian kerana Stella dinasihatkan oleh doktor untuk berehat dan menerima rawatan bagi memulihkan penyakitnya. Pada waktu pagi, John memulakan perniagaan lebih awal untuk menghabiskan jualan supaya di waktu tengahari atau petang, dia sudah berada di rumah untuk menjaga isterinya.

Masyarakat setempat bersimpati dengan kesukaran yang sedang dihadapi oleh John yang sentiasa bimbang akan keadaan kesihatan isterinya disamping perlu menguruskan perniagaan seperti biasa. Mereka berbincang mahu mewujudkan tabung GoFundMe bagi mengutip dana membantu memulihkan penyakit Stella. Tetapi John enggan berbuat demikian dengan berkata, wangnya sudah mencukupi, tetapi masa yang diperuntukan bersama isterinya yang sakit tidak mencukupi.

Kredit: CBS Los Angeles/Youtube

Jadi, para pelanggan Donut City membuat keputusan untuk membantu John dengan satu penyelesaian, iaitu mereka akan membeli sedozen donat dengan datang lebih awal pada waktu pagi, supaya pada waktu tengahari kesemua donat akan habis terjual dan John boleh pulang ke rumah untuk menjaga dan menghabiskan masa bersama isterinya.

Selepas mendengar kisah John, ramai pelanggan Donut City dan mereka yang bersimpati telah bekerjasama membantu dengan membeli sedozen donat di waktu pagi supaya kedai Donut City dapat ditutup lebih awal pada waktu tengahari bagi membolehkan John menjaga isterinya.

Kredit: CBS Los Angeles/Youtube

John Chhan berasa begitu terharu dengan kebaikan hati para pelanggan setia Donut City dan masyarakat setempat yang berusaha membantunya menghadapi masa sukar dengan cara yang unik dan menyentuh hati.

Lihat video kebaikan hati satu komuniti berbilang bangsa membantu salah seorang ahli yang sedang menghadapi masalah, dengan membeli sekotak donat di kedainya di bawah.

Kredit: CBS Los Angeles/Youtube

Sumber : HappiestCBS Los Angeles/Youtube

Share
Kategori: INSPIRASI Pesona

Video Popular

Ad will display in 09 seconds