Pelakon veteran dan pelawak terkenal, Zaibo atau nama sebenarnya, Zainal Ariffin Abd Hamid, 62, meninggal dunia di rumahnya di Rengit, kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.

Berita sedih itu disahkan oleh anak tirinya, Hafiz, dalam laman sosial Facebooknya yang mengatakan Zaibo meninggal dunia akibat kanser esofagus (Esophageal Cancer) tahap empat yang dikesan sejak September lalu.

“Assalamualaikum, saya Hafiz. Mewakili pihak keluarga Zainal Ariffin bin Abd Hamid atau Zaibo ingin memaklumkan bahawa ayah pergi dijemput Illahi pada jam 1.30 tengah hari ini.

“Mohon doa semua agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan insan terpilih… Aminn,” katanya.

Sumber: Astro Awani

Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah, dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima khabar sedih itu menerusi isteri Zaibo, Siti Hawa Sawal.

“Beliau telah banyak berlakon dalam drama dan filem tempatan dengan pelbagai watak yang mencuit hati penonton serta meninggalkan kesan kepada penonton.

“Arwah Zaibo akan dimandikan dan disolatkan di rumah beliau dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rengit selepas solat Isyak,” katanya dalam kenyataan tersebut.

President Yayasan Kebajikan Artis Malaysia (YKAT), Datuk DJ Dave, turut mengesahkan hal berkenaan.

“Saya diberitahu oleh isteri beliau sendiri, Puan Hawa mengenai berita sedih ini. Zaibo meninggal dunia dan akan dikebumikan di Batu Pahat, Johor selepas Isyak malam ini,” katanya.

Isnin lalu, Zaibo menerima kunjungan Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim bersama suaminya, Dennis Muhammad Abdullah.

Sumber: TheRoyalJohor | Instagram

Allahyarham menjalani rawatan di Hospital Batu Pahat dan Hospital Sungai Buloh (HSB), Selangor selain dirujuk ke Institut Kanser Negara (IKN) Putrajaya.

Allahyarham popular menerusi watak Pak Selamat dalam sitkom, Spanar Jaya, selain turut berlakon dalam filem Hollywood, Anna & the King. Allahyarham telah berhenti daripada mengambil sebarang kerja berlakon sejak dua tahun lalu.

– Al-Fatihah – 

Sumber:  Astro Awani

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds