Jenama mi segera Indomie begitu popular di Nigeria sehingga semua keluaran mi segera di negara itu juga dipanggil ‘Indomie’. Oleh kerana Indomie begitu popular, kini sepeket Indomie diberikan sebagai insentif dalam program imunisasi di Nigeria sehingga telah berjaya mengurangkan jumlah kes polio di kalangan kanak-kanak di negara tersebut.

Program imunisasi suntikan polio dimulakan di negeri Sokoto bersama bantuan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dengan kerjasama syarikat pengeluar Indomie, membekalkan satu peket mi segera Indomie secara percuma kepada kanak-kanak yang telah menerima vaksinasi polio.

Kredit : Red Mart

Program ini yang juga merupakan sebahagian daripada ‘strategi mobilisasi sosial Indomie’ dari syarikat pengeluar mi segera terkenal yang sudah lama bertapak di Indonesia itu. Dengan memberikan sepeket mi Indomie secara percuma, secara tidak langsung ia telah menggalakkan lebih ramai kanak-kanak mendapatkan sama ada suntikan atau titisan oral vaksin polio dengan sukarela.

Kerajaan Nigeria telah lama menjalankan usaha mengurangkan kadar kes polio di kalangan kanak-kanak, namun usaha itu tidak berjaya disebabkan ramai ibu bapa yang memboikot serta menolak sepenuhnya program imunisasi untuk anak-anak mereka atas sebab kepercayaan dan agama. Selama berdekad lamanya, jumlah kanak-kanak yang dijangkiti penyakit polio sehingga meninggal dunia atau mengalami kecacatan sentiasa meningkat.

Sehingga tahun 2018, Nigeria kekal sebagai satu-satunya negara di Afrika dan antara tiga negara di dunia yang masih tidak dapat membasmi penyakit polio dengan sepenuhnya.

Kredit : Lagos Television

Menurut laporan Vice, pasaran mi segera di Nigeria tidak mendapat tempat di kalangan masyarakat ketika syarikat Indomie cuba memasarkan mi segera itu di Nigeria pada tahun 1980-an. Oleh kerana Indomie merupakan antara pelopor pengenalan mi segera di Nigeria, kini kesemua jenama mi segera lain yang memasuki pasaran negara itu juga digelar ‘Indomie’.

Pada tahun 2017, Indomie dilaporkan mengawal 74 peratus pasaran mi segera di Nigeria. Menurut seorang warga tempatan, Daniel Adeyemi berkata, “Indomie merupakan perkataan bagi ‘mi’ di sini.”

Kredit : hipwee.com / Gambar Hiasan

Program imunisasi ini yang merangkumi lapan wilayah di negeri Sokoto telah mendapat sambutan di luar dugaan. Ramai ibu bapa telah menukar fikiran dengan menghantar anak mereka untuk mendapatkan vaksinasi polio.

Di wilayah Dange-Shuni, pegawai imunisasi Aliyu Abubakar mendedahkan pihak mereka telah meletakkan sasaran 58,813 orang kanak-kanak yang berusia di bawah 5 tahun untuk mendapatkan vaksinasi, dan sasaran itu telah dicapai berikutan ramai keluarga yang telah datang mendapatkan imunisasi setelah mendengar insentif Indomie.

Seorang pegawai kesihatan yang bertugas di wilayah Seriki Zamfara, Mallam Abubakar Muhammad pula berkata kepada The Nigerian Tribune, ramai ibu bapa yang telah muncul membawa anak-anak mereka bagi mendapatkan vaksinasi dengan jumlah peningkatan yang amat menggalakkan.

Kredit : Daily Nigerian

Sementara pegawai imunisasi Isa Aminu memaklumkan ramai ibu bapa yang tidak lagi menolak untuk mendapatkan vaksinasi untuk anak mereka seperti sebelumnya, dan para pengamal perubatan tradisional serta pemimpin agama juga memainkan peranan dengan memberikan sokongan dalam program ini.

Coconuts Jakarta melaporkan, setelah menemui kejayaan di negeri Sokoto, program imunisasi ini akan diteruskan ke seluruh negeri lain di Nigeria.

Sumber : SAYSCoconuts Jakarta

 

Share
Kategori: BISNES GLOBAL KESIHATAN

Video Popular

Ad will display in 09 seconds