Parti PKR secara rasminya telah memiliki pemimpin tertinggi yang baharu setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim diisytiharkan sebagai Presiden PKR pada 18 November 2018. Jawatan ini akan disandang olehnya untuk tempoh 2018 hingga 2021.

Timbalan Presiden PKR pula kekal dipertanggungjawabkan kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali setelah menewaskan pesaingnya, Mohd Rafizi Ramli.

Kredit: Bernama

Selain itu, empat jawatan naib presiden parti yang dipertandingkan pula telah dimenangi oleh Nurul Izzah Anwar, Zuraida Kamaruddin, Dr. A. Xavier Jayakumar dan Tian Chua.

Pengumuman tampuk pimpinan baharu ini telah disampaikan oleh Datuk Rashid Din selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR di Kongres Nasional ke-13 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.

Anwar yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Umum PKR telah menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden PKR dalam pemilihan parti yang dilakukan secara berperingkat sejak Julai yang lalu. Jawatan Presiden parti yang disandangnya ini juga dalam masa yang sama telah diambil alih daripada isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang telah menyandang jawatan itu sejak tahun 1999 dan tidak mempertahankannya pada kali ini.

Kredit: Bernama

16 November yang lalu pula menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Haniza Mohd Talha diumumkan sebagai Ketua Wanita PKR manakala ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi pula menyandang jawatan timbalannya.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir pula telah dipilih sebagai  ketua Angkatan Muda Keadilan disamping timbalannya yang dipegang oleh ADUN Gombak Setia, Hilman Idham.

Pada 17 November pula, Kongres Nasional PKR ke -13 telah sebulat suara bersetuju untuk melantik Dr. Wan Azizah sebagai Pengerusi Majlis Penasihat PKR. Selain itu, jawatan Ketua Umum yang selama ini disandang oleh Anwar pula telah dimansuhkan.

Sumber: Bernama, Berita Harian, Siakap Keli

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds