Kerajaan Pulau Pinang telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti perancangan untuk membeli semula rumah kos rendah dan sederhana rendah, lapor Bernama pada 15 November yang lalu. Walau bagaimanapun, hal ini hanya melibatkan pemilik rumah yang telah berjaya menaik taraf status sosioekonomi mereka sahaja.

Kredit: Fail/Bernama

Jawatankuasa khas ini ditubuhkan untuk melihat sama ada skim yang baru dibina dapat diwujudkan di mana unit-unit kos rendah dan kos sederhana rendah yang dijual akan tetap menjadi milik kerajaan negeri melalui kaedah pajakan. Di samping itu, jawatankuasa ini juga dipertanggungjawabkan untuk memperhalusi mekanisme pelaksanaan dasar berkenaan, dan dalam masa yang sama dapat mengemukakan syor untuk pertimbangan dan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Rancangan terbaharu negeri ini telah dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan dan Desa, Jagdeep Singh Deo.

“Kerajaan akan mengambil semula unit yang akan dikembalikan di mana ia akan disalurkan kepada pemohon baru di dalam sistem.”

“Kita juga mahu memastikan stok perumahan sedemikian mencukupi untuk ditawarkan kepada golongan berkelayakan dan bukan disewa kepada pihak ketiga. Syarat perumahan jelas menyatakan unit rumah ini perlu didiami pemilik sahaja, bukannya untuk disewa,” kata Jagdeep ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di Georgetown, pada hari yang sama.

Kredit: Bernama

Jagdeep turut menegaskan bahawa melalui pelaksanaan dasar ini, pemilik rumah hanya boleh menjual unit mereka kepada kerajaan negeri sahaja dan bukannya kepada pihak ketiga. Untuk melancarkan segala urusan mengenai transaksi, pihak kerajaan negeri sedang mengkaji kaedah pembayaran yang sesuai dengan mengambil kira beberapa aspek, termasuklah baki pinjaman perumahan yang dimiliki oleh pemilik unit yang terlibat.

“Kita akan pertimbangkan jumlah baki pinjaman perumahan pemilik sebagai bayaran, jika pembeli masih terikat dengan pihak bank. Bagaimanapun, kita mungkin bayar RM42,000 jika unit berkenaan diperoleh melalui pampasan.

“Ini akan memberi situasi menang-menang bagi pemilik dan kerajaan negeri, kecuali bagi pihak yang mengharapkan ‘durian runtuh’ apabila menjual unit perumahan masing-masing,” jelasnya dengan lebih lanjut.

Sumber: Awani, Bernama

Share
Kategori: BISNES Ekonomi NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds