WASHINGTON – Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat memberi amaran kepada pengguna supaya tidak memakan mana-mana salad Romaine dan terus membuangnya sekiranya sudah terbeli, berikutan penularan wabak keracunan Escherichia coli (E. coli) di Amerika Syarikat dan Kanada.

Amaran daripada pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat itu dikeluarkan untuk kesemua salad Romaine yang berada di rumah, restoran, kedai dan pasaraya, menjelang sambutan Hari Kesyukuran dalam masa dua hari lagi. Salad menjadi antara hidangan sampingan bersama ayam Turki panggang dalam majlis makan besar keluarga di negara itu.

Kredit : Getty Image/ NPR

Pihak CDC dalam kenyataannya memberi amaran dan nasihat tidak memakan salad Romaine dengan berkata, “Nasihat ini termasuk semua jenis atau semua bahagian salad Romaine iaitu keseluruhan kepala, bahagian tengah, beg dan kotak salad sebelum ia dipotong, campuran salad lain yang mengandungi salad Romaine, termasuk salad kecil dan salad Caesar.”

CDC Amerika Syarikat juga menasihatkan, “Sekiranya anda tidak tahu jika salad itu jenis Romaine atau campuran mengandungi salad Romaine, sila jangan memakannya dan terus sahaja membuangnya.”

Kredit : MyRecipes / Gambar Hiasan

Jelas CDC lagi, “Pengguna yang sudah terbeli apa-apa jenis salad Romaine di rumah, seharus tidak memakannya dengan terus sahaja membuangnya. Walaupun sudah terdapat sesetengah salad yang sudah dimakan dan tiada ahli keluarga yang jatuh sakit.”

Setakat ini, antara 8 hingga 31 Oktober, seramai 32 orang telah dilaporkan jatuh sakit akibat keracunan E. coli di sebelas buah negeri di Amerika Syarikat dengan 13 orang daripadanya telah dirawat di hospital. Wabak E.coli telah menyebabkan salah seorang antara pesakit ini mengalami kegagalan buah pinggang.

Kredit : Chimpr/Flickr/ Ars Technica

Wabak keracunan E.coli yang  menyerang pemakan salad Romaine akan mengeluarkan toksin Shiga, yang mana akan menghentikan sel di dalam badan daripada berfungsi dengan sempurna. Biasanya ia dibawa oleh kumpulan haiwan lembu, biri-biri dan kambing. Toksin Shiga amat berbahaya kerana apabila ia telah meresap ke dalam tubuh manusia, akan menyebabkan seseorang mengalami cirit-birit dan muntah-muntah sehingga membawa kepada kekurangan air dan kegagalan buah pinggang.

Manakala pihak berkuasa kesihatan Kanada memaklumkan, seramai 18 orang dengan simptom wabak keracunan E. coli telah dikenal pasti. Mereka telah jatuh sakit akibat mengalami keracunan setelah memakan salad Romaine di wilayah Ontario dan Quebec.

Kredit : CDC/ WATE.com

Pihak berkuasa kesihatan kedua buah negara masih mencari punca penularan wabak keracunan E. coli melalui salad Romaine sama ada telah tercemar melalui tanah, air atau baja, serta setelah salad ini dikendalikan dalam penyimpanan, pembungkusan, atau semasa penghantaran. Oleh kerana kuman dalam salad tidak boleh mati melalui pembakaran seperti daging atau melalui proses pempasteuran seperti susu, pembuangan salad tercemar itu adalah satu-satunya cara membasmi penyakit dan penularan wabak.

CDC Amerika Syarikat juga menasihatkan supaya sesiapa sahaja yang menyimpan salad Romaine di dalam peti sejuk supaya membasuh rak di mana salad disimpan dan bertindak membasmi segala kuman. Setakat ini, tiada kematian akibat wabak keracunan E. coli dilaporkan.

Sumber : Ars Technica

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds