Pada 21 November yang lalu, Menteri Kesihatan Dr.Dzulkefly Ahmad telah mengumumkan bahawa jika rokok elektronik (vape) dan shisha didapati mengandungi nikotin, maka kedua-duanya akan dimasukkan dalam Peraturan Larangan Merokok 2019.

Bernama melaporkan Dr.Dzulkefly berkata larangan merokok termasuklah rokok dan semua produk tembakau yang mengandungi nikotin, termasuklah shisha dan vape.

“Peraturan adalah jelas, jika mengandungi nikotin akan tertakluk (pada larangan itu),” kata Dr. Dzulkefly.

Menurut Dr. Dzulkefly lagi, penguatkuasa akan memeriksa jika vape dan shisha mengandungi nikotin.

“Apabila kita melaksanakan penguatkuasaan kita akan lihat sama ada vape dan shisha mengandungi nikotin atau tidak,” ujar Menteri Kesihatan selepas menghadiri Program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama kelmarin.

Katanya lagi, “Jika kita dapati tiada nikotin maka ia tidak akan dimasukkan dalam larangan.”

Sebelum ini Dr Dzulkefly mengatakan bahawa rokok elektronik (vape) dan shisha tidak termasuk dalam peraturan larangan merokok di semua premis makanan yang akan dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun depan.

Namun, hasil perbincangan terkini beliau mengumumkan rokok elektronik (vape) dan shisha yang mengandungi nikotin akan dimasukkan dalam peraturan larangan merokok di semua premis makanan yang akan dikuatkuasakan tahun hadapan.

Sumber: SAYS, BERNAMA

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds