SULAWESI – Bangkai seekor paus sperma ditemui terdampar di Taman Negara Wakatobi, di Pulau Kapota, Indonesia dengan penemuan hampir 6 kilogram campuran pelbagai plastik di dalam perutnya pada 18 November telah mencetuskan kebingungan dan kebimbangan di kalangan aktivis serta pencinta alam sekitar tentang betapa serius pencemaran alam sekitar yang disebabkan oleh plastik.

Ketika bangkai ikan paus sepanjang 9.5 meter itu ditemui, pegawai taman negara dan penduduk setempat menemui 19 plastik keras, 115 cawan minuman, 4 botol plastik, 25 beg plastik, dua selipar dan sebuah guni dipenuhi potongan tali rafia seberat 3.26 kilogram di dalam perutnya.

Kredit : Reuters / BBC Asia

Pegawai marin dan jurucakap bagi WWF Indonesia, Dwi Suprapti berkata, “Walaupun kita masih tidak mengetahui punca sebenar kematian paus ini, tetapi hakikat yang kita temui dan saksikan amat mendukacitakan.”

Menurutnya, adalah tidak mustahil plastik menjadi punca kematian paus ini kerana plastik yang sukar dilupus dan dicerna boleh menyebabkan paus mengalami keracunan dan akhirnya mati.

Kredit : WWF-Indonesia / Twitter

Laporan ikan paus mati berpunca daripada plastik bukan perkara asing kerana haiwan mamalia yang semakin mengalami kepupusan ini sememangnya terdedah kepada ancaman pembuangan sisa plastik ke dalam laut.

Pada bulan Jun yang lalu, bangkai seekor ikan paus pandu ditemui terdampar di selatan Thailand selepas didapati telah menelan 80 sisa beg plastik sampah di dalam perutnya.

Kredit : BBC Asia

Menurut satu laporan yang dibuat oleh jurukempen alam sekitar bagi Ocean Conservancy and the McKinsey Center for Business and Environment pada tahun 2015, lima negara di Asia iaitu China, Indonesia, Filipina, Vietnam dan Thailand adalah penyumbang terbesar sehingga 60 peratus pembuangan sisa plastik ke dalam laut.

Indonesia yang berada di tangga kedua selepas China sebagai penyumbang sisa plastik ke dalam laut di kalangan 192 negara di dunia, telah berjanji untuk mengurangkan sisa plastik marin sehingga 70 peratus menjelang 2025 dengan peruntukan RM4.19 bilion setahun.

Sumber : WWF-Indonesia/ Twitter , BBC Asia

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds