Taman Tema 20th Century Fox World yang dijangka dibuka pada tahun hadapan, mungkin akan ditunda pembinaannya sekali lagi berikutan pemilik baru 20th Century Fox iaitu Walt Disney Co. telah bertindak untuk menarik diri daripada meneruskan kontrak menyiapkan pembinaan taman tema tersebut yang terletak di Genting Highland.

Berikutan pelanggaran perjanjian kontrak yang telah ditandatangani, Genting Malaysia telah memfailkan saman di hadapan Mahkamah Persekutuan di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 26 November terhadap Walt Disney Co. dan 20th Century Fox, kerana keengganan mereka untuk meneruskan perjanjian membina Taman Tema 20th Century Fox World.

Kredit : Bloomberg

Pada tahun 2013, 20th Century Fox memasuki perjanjian kontrak dengan Genting Malaysia Berhad untuk membina Taman Tema 20th Century Fox yang pertama di dunia. Pembukaan taman tema tersebut sepatutnya sudah dilancarkan pada tahun 2016, akan tetapi pembinaannya telah tertunda sebanyak beberapa kali sehingga tahun ini.

Menurut laporan, taman tema tersebut sepatutnya telah dibuka pada tahun ini. Akan tetapi, tarikh sebenar pembukaannya kemudian didedahkan telah ditunda ke tahun 2019.

Kredit : Hollywood Reporter

Genting Malaysia Berhad kini menuntut jumlah kerugian yang ditanggung akibat pembatalan kontrak tersebut yang bernilai RM4.1 bilion daripada Walt Disney Co. dan 20th Century Fox.

Menurut laporan Bloomberg, Walt Disney Co. yang sudah memuktamadkan pembelian aset dan pengambilalihan 20th Century Fox bertindak membatalkan kontrak tersebut kerana tidak mahu melanggar prinsip perniagaan mereka yang berasaskan jenama ‘mesra keluarga’. Syarikat ini tidak mahu perniagaan mereka mempunyai ikatan dengan aktiviti perniagaan ‘berunsur perjudian’.

Kredit : Shyamal Kachare/Flickr

Menurut jurucakap Genting Malaysia Berhad, beberapa lokasi tarikan bertema 20th Century Fox telah hampir siap dibina, sementara zon taman tema permainan sedang di dalam pembinaan. Kos pembinaannya bernilai ratusan juta ringgit.

Taman Tema Fox World merupakan satu tarikan terbaru yang akan menggantikan Taman Tema Genting Highland yang sudah sekian lama menjadi tarikan taman tema ‘mesra keluarga’ bagi rakyat Malaysia dan para pelancong dari seluruh dunia.

Kredit : Mello/Themeparx

Media sebelum ini melaporkan Genting Malaysia Berhad telah melaburkan RM400 juta untuk membina Taman Tema Fox World pertama di dunia yang bakal menjadi tarikan terbaru pengunjung untuk merasai pengalaman dan hiburan menyeronokkan menaiki 25 permainan ekstrem bertema filem popular 20th Century Fox bersama beberapa tarikan lokasi yang lain.

Sumber : The Edge , Bloomberg , SAYS

Share
Kategori: BISNES HIBURAN NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds