PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluar arahan menarik balik penjualan beberapa jenama salad Romaine yang berada di pasaran berkuat kuasa serta-merta menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan pada 26 November, berikutan wabak Escherichia coli (E.coli) yang sedang merebak di Amerika Syarikat dan Kanada.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, “Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah mengenal pasti pengimport salad Romaine dari Amerika Syarikat.”

Kredit :  Ahmad Irham Mohd Noor/New Straits Times

Kenyataan akhbar KKM menyebut, “Syarikat yang terlibat dimaklumkan untuk menarik balik penjualan salad tersebut dari pasaran mengikut peruntukan di bawah Seksyen 13C(2) Akta Makanan 1983. Kegagalan mematuhi peruntukan seksyen tersebut adalah satu kesalahan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.”

Semenjak 23 November, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengenakan tindakan penguatkuasaan “Tahan, Uji dan Lepas” (TUL) terhadap salad Romaine yang diimport dari Amerika Syarikat.

Tindakan penguatkuasaan oleh KKM berikutan penularan wabak E.coli di Amerika Syarikat dan Kanada yang dikaitkan dengan pemakanan salad Romaine.

Kredit : Getty Images/The New York Times

Menurut laporan CNN, seramai 43 orang di 12 buah negara telah jatuh sakit selepas dijangkiti bakteria E.coli , dan 22 kes jangkitan wabak dilaporkan di Kanada.

The Verge melaporkan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) telah menasihatkan pengguna untuk mengelak daripada memakan salad Romaine yang telah dibeli sejak minggu lalu, dan mengaitkan salad Romaine yang dikeluarkan dari wilayah California dan penularan wabak bermula dari wilayah itu.

Bakteria patogenik Escherichia coli (E.coli) merupakan sejenis mikroorganisma yang boleh menyebabkan cirit birit, demam dan kesakitan abdomen.

Menurut kenyataan KKM, “Dalam kes-kes tertentu, ia boleh menyebabkan kematian khususnya kepada golongan yang berisiko tinggi seperti bayi, orang tua atau mereka yang mempunyai sistem imuniti yang rendah.”

Kredit : CDC / Kementerian Kesihatan Malaysia

Dr. Noor Hisham menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan tidak memakan salad Romaine dari Amerika Syarikat setelah arahan dikeluarkan.

Katanya, “Para pengguna dinasihatkan supaya memeriksa label untuk mengenal pasti negara pengeluar produk yang dibeli dan pengguna yang telah membeli salad Romaine dari negara pengeluar Amerika Syarikat adalah dinasihatkan untuk membuang salad tersebut dan tidak memakannya.”

KKM juga menasihat serta menggalakkan orang ramai yang mengalami simptom keracunan makanan, seperti kesakitan abdomen, berasa loya dan muntah-muntah, serta sakit kepala selepas memakan salad Romaine supaya segera pergi ke hospital atau klinik kesihatan berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia , SAYS

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds