Pada Oktober lalu, terdapat kes seorang kanak-kanak berusia 2 tahun meninggal dunia akibat mengalami sesak nafas dan kecederaan pada sel otak yang berpunca daripada pemberian ubat yang salah.

Kisah benar ini telah dikongsi oleh Doktor Yazeed Hair Johari di facebook miliknya untuk tatapan dan pengajaran orang ramai terutama yang suka beli ubat di farmasi.

Seorang ibu yang kasihan melihat anaknya yang sedang menanggung sakit perut dan cirit-birit di rumah bertindak membeli ubat di farmasi.

Mungkin ubat itu dilarutkan dalam air dan diberikan kepada anaknya. Lalu si anak pun minum. Yang disangka penawar rupanya adalah racun yang membawa maut tanpa disangka-sangka.

“Baru jer semalam main dengan kau nak , Hari ni aku kena tgk kau ditanam” bisik hati ibu yang menangis tersesak esak.

Hasil siasatan ibu tersebut mengaku membeli ubat di farmasi dan memberikannya kepada anaknya. Akibatnya si anak mengalami sesak nafas dan dibawa ke hopital untuk mendapatkan rawatan lanjut namun malangnya kanak-kanak itu tidak dapat diselamatkan kerana keadaannya yang sungguh kritikal.

Rupa-rupanya si anak telah diberikan Lomotil iaitu sejenis ubat cirit-birit yang selalu digunakan untuk orang dewasa.

Lomotil mengandungi 2.5 mg diphenoxylate hydrochloride dan 0.025mg atropine sulfate yang sebenarnya memang tidak sesuai untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

Menurut Doktor Yazeed, kanak-kanak berusia 2 tahun tidak boleh diberikan AntiDiarrhoeal. Jika kanak-kanak mengalami cirit-birit yang teruk, tidak mahu minum air, muntah-muntah, badan lemah dan tidak aktif, ibu bapa atau penjaga perlu membawa kanak-kanak itu ke hospital dengan segera.

Namun jika kanak-kanak yang mengalami cirit-birit masih aktif, minum air dengan banyak dan tidak demam, maka ibu bapa dan penjaga boleh memantau keadaan kanak-kanak itu. Hanya perlu memastikan kanak-kanak tersebut diberikan air dengan kerap tidak kira sama ada air susu, air ribena supaya hidrasi badan cukup.

Walau bagaimanapun, amat disarankan kepada semua orang untuk membawa kanak-kanak yang sakit ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan.

Ini kerana keracunan makanan, jangkitan usus, rotavirus, dysentry dan macam-macam lagi sebab yang berkemungkinan boleh membawa maut tanpa disangka.

Apabila tiba di hospital, doktor akan memastikan tahap hidrasi, memasukkan air ke dalam badan melalui drip jika demam, melalukan ujian darah, mengambil sampel najis dan bermacam-macam ujian lain.

Sekiranya pesakit pergi ke farmasi untuk membeli ubat, farmasi tetap akan menjualkannya kepada pesakit dengan hanya berpandukan pada aduan dari pesakit dan gejala penyakit tanpa melakukan sebarang pemeriksaan.

Pesan Doktor Yazeed kepada semua orang, kita boleh membeli ubat di farmasi namun harus mendapatkan preskripsi dari doktor terlebih dahulu.

Ini kerana terdapat beberapa jenis ubat-ubatan yang boleh dijual tanpa preskripsi. Contohnya ialah lomotil yang diklasifikasikan sebagai kelas C iaitu ubat yang boleh dibeli tanpa preskripsi. Lomotil selamat untuk orang dewasa melainkan ada alahan atau alergi pada lomotil.

Selain itu, tujuan mendapatkan rawatan dari doktor terlebih dahulu ialah untuk mengelakkan daripada tertinggal sebarang gejala lain yang kita tidak sedar.

Jika kita membeli ubat di farmasi sebagai jalan singkat kerana malas bertemu doktor atau kerana hendak berjimat atau kesempitan wang, tindakan itu mungkin akan mengundang padah.

Kesimpulannya, tidak kira apa jua gejala penyakit sekalipun, kita perlu mendapatkan rawatan dari doktor terlebih dahulu terutama yang melibatkan kesihatan kanak-kanak. Tidak berbaloi jika hendak berjimat tetapi mendatangkan musibah kerana penyesalan selepas itu tidak lagi berguna.

Pesan Doktor Yazeed, jika kita pergi ke klinik dan diberikan ubat lomotil untuk kanak-kanak kurang daripada 12 tahun, beritahu mereka bahawa, “Doktor Saka tak kasi!”

Sumber: Siakapkeli, Facebook | Yazeed Hair Johari

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds