Pihak berkuasa di wilayah Xinjiang, China didakwa telah menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang ahli perniagaan dan dermawan dari etnik Uighur beragama Islam selepas didapati bersalah menunaikan haji tanpa kebenaran kerajaan. Ini dinyatakan oleh adiknya sendiri kepada media antarabangsa.

Menurut Abdusattar Abdurusul, abangnya telah ditahan antara bulan Julai hingga Ogos yang lalu dan memberitahu, “Terkini, apa yang diberitakan, abang saya Abdughapar Abdurusul telah dijatuhi hukuman mati dan sedang menunggu perlaksanaan hukuman. Beliau telah didapati bersalah kerana menunaikan haji secara bersendirian dengan tidak menyertai rombongan haji mengikut sistem sekatan dan kawalan yang disediakan oleh kerajaan.”

Kredit : Radio Free Asia

Menurut Abdusattar lagi, abangnya tidak diberikan hak untuk melantik peguam ketika perbicaraan kes sekaligus menimbulkan kebimbangan bahawa abangnya telah dijatuhi hukuman secara tidak adil. Undang-undang di China memperuntukkan sebarang hukuman mati perlu dikaji semula dengan rayuan ke Mahkamah Agong di Beijing, tetapi tidak dapat dipastikan peruntukan itu terpakai dalam kes Abdulghapar.

Abdughapar Abdurusul yang berasal dari wilayah Bakyol di Ili Kazakh dan berusia 42 tahun dimaklumkan oleh Abdusattar merupakan seorang ahli perniagaan berjaya yang menguruskan beberapa buah kedai runcit dan perniagaan lain, serta sering memberi derma dan sumbangan kepada komuniti Islam di Xinjiang, terutamanya dalam membantu pembinaan masjid.

Abdusattar memberitahu abangnya baru sahaja menjual sebuah rumah lama pada pertengahan tahun ini dengan harga RM604,500 ribu dan memulakan kehidupan baru secara sederhana bersama keluarganya, sebelum dia ditahan dengan kesemua aset keluarganya yang bernilai RM60.44 juta juga telah dirampas oleh kerajaan.

Kredit : Kyle Orton / Twitter

Kata Abdusattar, “Abang saya seorang dermawan dan suka membantu masyarakat, tetapi apa yang terjadi ke atasnya telah memusnahkan kehidupannya dan keluarga.”

Anak sulung Abdughapar, Awzer juga turut ditahan pada tahun 2017, sebaik sahaja dia pulang ke China setelah menamatkan pengajian di Turki, manakala isterinya Merhaba Hajim telah ditahan pihak berkuasa pada bulan April. Selain itu, sebelum ini, rakan-rakan rapat Abdughapar juga turut ditahan sehingga tempoh 18 tahun.

Pihak berkuasa Xinjiang enggan mengulas lanjut ketika dihubungi oleh media berhubung pendedahan yang dibuat oleh Abdusattar. Menurut laporan Radio Free Asia, terdapat kemungkinan hukuman tersebut dilaksanakan kepada Abdughapar, dan isterinya turut dilaporkan telah meninggal dunia ketika berada dalam tahanan pihak berkuasa.

“Ini benar-benar keterlaluan! @Amnesty menyeru pihak berkuasa untuk segera menghentikan apa-apa rancangan untuk perlaksanaan hukuman terhadap Abdughapar Abdurusul

Kredit : William Nee / Twitter

Laporan itu turut mendedahkan kira-kira 50 orang kenalan rapat Abdughapar juga turut ditahan, termasuk beberapa orang pegawai polis, tetapi berita hukuman mati hanya melibatkan Abdughapar seorang.

Bagaimanapun, sumber berkenaan tidak dapat mengesahkan sama ada hukuman mati tersebut dikenakan ke atas Abdughapar disebabkan kekayaan yang dimilikinya atau disebabkan oleh tindakan beraninya menunaikan haji tanpa kebenaran.

Terdapat banyak sumber yang boleh dipercayai mendedahkan, bahawa kerajaan China sering mengenakan penindasan dan penganiayaan ke atas etnik Uighur yang beragama Islam dengan menahan mereka serta mengenakan hukuman tanpa alasan, serta bagi tujuan pendidikan semula di dalam kem tahanan.

Selain etnik Uighur, etnik minoriti lain yang diseksa termasuklah Kazakh, Dongxiang, dan Uzbek, serta Han Chinese Muslims (Hui). Pengikut Kristian, pengamal Falun Gong, dan tahanan politik lain juga dilaporkan ditangkap dan ditahan di rantau Xinjiang.

Organisasi yang memperjuangkan hak etnik Uighur, World Uyghur Congress mendedahkan berita hukuman mati Abdughapar Abdurusul di laman sosial termasuk di Twitter dan kini ia menjadi tular.

“SIARAN AKHBAR: @UggurCongress sangat risau terhadap Abdughapar Abdurusul, seorang ahli perniagaan Uyghur dilaporkan telah dijatuhi hukuman mati kerana menjalankan Haji tanpa izin.”

 

Kredit : WorldUyghurCongress / Twitter

Sumber : Radio Free Asia , Siakap Keli

 

Share
Kategori: Asia GLOBAL Kebenaran

Video Popular

Ad will display in 09 seconds