Musim perayaan adalah satu keraian yang boleh merapatkan kembali hubungan yang sudah lama terputus, menjalin hubungan baharu dan membentuk lebih ramai kenalan. Pada ketika inilah kita akan berkumpul beramai-ramai, berkongsi cerita suka dan duka serta bergembira bersama.

Namun, lain pula kisah yang berlaku di antara Jamal Hinton dan Wanda Dench. Kedua-duanya saling tidak mengenali antara satu sama lain. Akan tetapi, disebabkan satu kesilapan yang tidak dijangka, kedua-dua insan ini kini membentuk perhubungan yang akrab dan menjadi sumber inspirasi ramai bagi membuktikan bahawa dunia ini masih mempunyai manusia berhati baik.

Pada tahun 2016, Jamal yang pada ketika itu baru berusia 17 tahun telah menerima satu pesanan ringkas daripada seorang nenek bernama Wanda. Wanda dikatakan telah menghantar pesanan mesej itu bagi menjemput Jamal ke majlis makan malam di rumahnya.

Cucu kandung Wanda, Justin bersama teman wanitanya Amanda

Bagaimanapun sebenarnya, Wanda telah tersilap menghantar mesej. Dia sepatutnya menjemputnya cucu lelakinya Justin dan teman wanita, Amanda untuk ke majlis tersebut. Entah bagaimana, mesej itu telah dihantar ke nombor telefon Jamal.

Berikut adalah perbualan mesej yang telah ditafsirkan antara Jamal dan Wanda:

Wanda : Makan malam Kesyukuran di rumah saya pada 24 November jam 3.00 petang. Maklumkan jika kamu hadir. Harap dapat jumpa kamu semua termasuk Justin dan Amanda.

Jamal : Siapa itu?

Wanda : Nenek awak.

Jamal : Nenek? Boleh saya lihat gambar?

Wanda : Gambar siapa?

Jamal : Gambar awak.

Wanda : (menghantar gambar swafoto dirinya). Ye, nenek sedang bekerja.

Jamal : (menghantar gambar swafoto dirinya). Awak bukan nenek saya. Tetapi, bolehkah saya menikmati makan malam itu?

Wanda : Sudah tentu boleh. Itu apa yang setiap nenek lakukan… memberi semua orang makan

Jamal benar-benar pergi ke rumah Wanda dan menikmati makan malam bersama keluarga tersebut. Sejak itu, kisah ini menjadi tular dan Wanda turut menggelarkan Jamal sebagai ‘cucu kehormatnya’.

Dalam satu temubual bersama Arizona Republic pada tahun lalu, Wanda memberitahu, “Sangat menyeronokkan melihat semua orang berkumpul bersama. Kami ketawa tentang kejadian tahun lalu dan bagaimana saya terpaksa menukar nombor telefon saya. Ia adalah detik yang menyeronokkan.”

Sementara itu, Jamal turut mengongsikan perasaannya mengenai kejadian yang dianggap sebagai satu makan malam yang sangat bermakna.

“Dunia ini menjadi tempat yang lebih baik berbanding sebelumnya. Dengan segala hal berkaitan Donald Trump dan komen-komen berbaur perkauman, sangat lega untuk melihat masih ada manusia berhati baik di luar sana.”

Sejak peristiwa yang tidak dijangka itu, Wanda telah menjemput ‘cucu baharunya’ itu untuk hadir ke setiap majlis makan malam Kesyukuran yang diadakan di rumahnya pada tahun-tahun akan datang.

Malah, perhubungan mereka menjadi semakin akrab dan mereka juga pernah menikmati makan tengahari bersama pasangan masing-masing.

Tiga tahun kemudian, mereka masih lagi menjalin perhubungan yang akrab dan Jamal telah pun menjadi tetamu tetap setiap kali sambutan Kesyukuran diadakan.

Jamal : Saya sihat. Macam mana dengan nenek?

Wanda : Sangat baik. Jadi, nenek mahu tanyakan soalan penting… Apa yang kamu lakukan pada Kesyukuran tahun ini?

Jamal : Saya dan Mikaela tidak mempunyai sebarang rancangan lagi. Nenek?

Wanda : Kami mahu jemput kamu berdua ke rumah.

Jamal : Kami berdua senang hati! Kami dapat menikmati masa yang menyeronokkan tahun lepas

Wanda : Bagus! Nenek akan beritahu bila

Jamal : Tidak sabar untuk bertemu nenek nanti

Kisah yang penuh inspirasi. Daripada tidak mengenali antara satu sama lain, mereka akhirnya menjadi sebuah keluarga baharu meskipun berlainan bangsa dan warna kulit.

Sumber: Bored Panda

Share
Kategori: HIBURAN INSPIRASI

Video Popular

Ad will display in 09 seconds