Anggota keluarga mangsa MH370 yang dilaporkan hilang secara misteri pada tahun 2014 telah menyerahkan lima serpihan kapal terbang yang dipercayai merupakan sebahagian daripada pesawat Malaysia Airlines yang berkenaan.

Kredit: The Star

Wakil dari keluarga mangsa menyerahkan serpihan-serpihan berkenaan yang ditemui di pantai Madagascar, kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke di kementerian pada hari Jumaat, 30 November yang lalu.

Salah seorang daripada waris, Grace Nathan, mendesak kerajaan untuk tidak menutup peluang bagi mencari pesawat yang hilang itu.

Kredit: The Star Online

“Hakikat bahawa serpihan masih ditemui di pantai menunjukkan bahawa kita tidak harus berhenti mencari pesawat.

“Sekiranya terdapat syarikat yang terbuka untuk mencari pesawat tanpa mengenakan bayaran, kami harap kerajaan akan mengambilnya,” kata Grace pada sidang akhbar selepas menyerahkan serpihan itu kepada kementerian.

Loke berkata kerajaan tidak menutup sepenuhnya cadangan untuk meneruskan pencarian MH370.

Kredit: The Star Online

“Kerajaan tidak pernah menutup sebarang kemungkinan. Sekiranya ada petunjuk yang boleh dipercayai, kami terbuka untuk meneruskan pencarian,” kata Loke.

Lima serpihan pesawat dijumpai di tiga lokasi berbeza di Madagascar, antara Disember 2016 dan Ogos 2018. Kesemua serpihan tersebut ditemui oleh penduduk kampung dan nelayan tempatan di kawasan berkenaan.

Turut hadir pada penyerahan itu adalah penyiasat amatur Blaine Gibson, yang telah melakukan kajian sendiri untuk merungkai misteri MH370.

Kredit: The Star Online

Gibson berkata salah satu daripada serpihan penting yang ditemui adalah serpihan panel lantai Boeing 777, yang dijumpai pada tahun lepas berhampiran Sandravinany, di Madagascar Selatan.

“Saya telah berunding dengan pakar bebas yang mengatakan bahawa serpihan itu mungkin merupakan panel lantai bahagian penumpang Boeing 777.

“Sekiranya pihak berkuasa dapat mengesahkannya secara rasmi, maka penemuan itu adalah penemuan yang signifikan, kerana serpihan itu menunjukkan bahawa lantai kapal terbang telah hancur,” kata Gibson.

Kredit: The Star Online

8 Mac 2014 mencatatkan sejarah apabila penerbangan pesawat Malaysia Airlines, MH370 dilaporkan hilang dari radar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 orang penumpang.

Penyiasat Malaysia dan antarabangsa percaya bahawa pesawat itu telah tersasar dari laluan sebenar sebelum akhirnya menjunam ke Lautan Hindi.

Kesemua 27 buah serpihan pesawat telah dikumpulkan dari pelbagai tempat di seluruh dunia tetapi hanya tiga serpihan sayap yang ditemui di sepanjang pantai Lautan Hindi telah disahkan berasal dari MH370, lapor Reuters.

Sumber: The Star Online

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds