KUALA LUMPURMalay Mail, akhbar tertua di Malaysia, juga antara yang tertua di dunia yang berusia 122 tahun, akhirnya mengalah dan mengeluarkan edisi surat khabar yang terakhir pada 1 Disember 2018.

Akhbar yang terkenal dengan etika kewartawanan yang mantap dengan pelbagai pendedahan eksklusif itu juga telah tiba ke penghujung perjalanan yang panjang dan bersejarah apabila revolusi berlaku kepada industri media, dengan perubahan teknologi yang berterusan.

Kredit : Daily Express

Mulai 2 Disember, Malay Mail hanya akan didapati secara dalam talian. Ketua Pengarang Malay Mail, Datuk Wong Sai Wan dalam mesej perpisahan kepada pembaca akhbar itu meminta semua pihak daripada pembaca dan juga pengiklan untuk bersama memulakan perjalanan baru di mana mereka akan melakukan segalanya secara digital untuk memaklum, menghibur dan mempromosi dalam dunia digital global.

Industri akhbar di seluruh dunia kini menghadapi tempoh masa paling sukar dan masa hadapan yang tidak menentu dalam sejarahnya dan banyak syarikat akhbar yang telah menghentikan penerbitannya.

Sebagai contoh di Kanada, berpuluh-puluh akhbar tempatan telah menghentikan penerbitan mereka sejak beberapa tahun yang lalu. Di Malaysia, Malay Mail sehingga kini telah menjadi mangsa terbesar manakala pengurangan kakitangan secara besar-besaran telah berlaku atau sedang dijalankan dikalangan beberapa akhbar utama.

Kredit : Sinar Harian

Pada 30 November 2018, seramai 800 kakitangan Utusan Melayu Berhad, penerbit akhbar Melayu berpengaruh Utusan Malaysia, mengucapkan selamat tinggal kepada majikan mereka dalam satu majlis penuh emosi apabila mereka meninggalkan Utusan Malaysia menerusi skim pemisahan sukarela (VSS).

Di media lain, perkara yang sama telah dilaksanakan di Media Prima, kumpulan media terbesar, dan Star Media Group yang mengurangkan sekurang-kurangnya 1,000 kakitangan, dengan lebih ramai lagi dijangkakan akan mengalami nasib yang sama pada masa hadapan.

Apa yang berlaku kepada industri media cetak dengan mudah disimpulkan oleh Wong Sai Wan sendiri dengan kata-katanya: “Model perniagaan akhbar cetak adalah bermasalah kerana ia bergantung kepada pengiklanan untuk terus hidup, dan ledakan akses maklumat secara digital telah menyebabkan kita tidak  lagi berfungsi sebagai pembekal berita.”

Kredit : Bernama

Dan katanya lagi, akhbar yang dicetak tidak ada sebab untuk terus berada dalam pasaran, kecuali melayani warga emas yang tidak boleh membaca tanpa medium berbentuk fizikal untuk mereka pegang.

Dengan golongan pembaca tersebut yang semakin berkurangan dan akan pupus, begitu juga nasib akhbar. Penerbit Malay Mail, Datuk Siew Ka Wei memberitahu Bernama bahawa pengakhiran kepada akhbar itu merupakan hari yang paling menyedihkan untuknya.

Datuk Siew Ka Wei berkata, “Saya amat sukakan Malay Mail terutamanya halaman hadapannya, kerana kami menceritakan berita yang baik dan buruk, juga yang berlaku di sekeliling kita. Kami tidak mempunyai pilihan. Tetapi saya percaya ‘nama’ itu akan kekal kukuh kerana kami mempunyai pasukan yang sangat baik untuk mengembangkannya secara digital. Surat khabar mempunyai masa depan yang sangat terhad dalam jangka masa yang masih ada,” 

Kredit : Utusan Borneo Online / Gambar Hiasan

Pengakhiran penerbitan surat khabar Malay Mail ini turut dikongsi Datuk Ahiruddin Atan, yang lebih dikenali sebagai Rocky, salah seorang perintis blogger negara yang mana blog ‘RockyBru’ merupakan antara yang paling meluas di baca. Ahiruddin sendiri mencatatkan sejarahnya sendiri kerana pernah menjadi Editor Malay Mail sebanyak dua kali.

Menurut Rocky, “Tentunya, saya sedih kerana Malay Mail tidak lagi akan di cetak. Secara peribadinya saya percaya mereka perlu meneruskan versi cetak kerana namanya masih lagi kukuh dan ia produk yang bagus dan tentunya mereka tidak akan menggunakan namanya jika ianya tidak terkenal dan berdaya maju?”

Bekas Pengerusi Media Prima Berhad Tan Sri Johan Jaafar mengambarkan ia sebagai satu ironi masa hadapan yang gelap untuk surat khabar dan industri berkaitan dengan pemberhentian beramai-ramai sedangkan “kita hidup dalam era maklumat. Industri media secara keseluruhan perlu merombak dirinya dan model perniagaannya perlu difikirkan semula. Sejarah kegemilangan surat khabar mungkin akan berakhir.”

Selamat tinggal akhbar Malay Mail!

Sumber : BERNAMA , Daily Express

 

Share
Kategori: BISNES NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds