Kebanyakan orang yang sukakan kebebasan hidup akan sanggup melakukan apa sahaja demi mengelakkan diri daripada memasuki penjara. Ramai banduan yang mempertaruhkan nyawa ketika cubaan meloloskan diri daripada kehidupan di dalam penjara demi mendapatkan kebebasan.

Namun begitu, lain kisahnya di Korea Selatan apabila terdapat sebilangan warganya yang sanggup membayar sejumlah wang untuk memasuki penjara olok-olok, semata-mata untuk melarikan diri daripada bebanan kehidupan mereka yang amat menekan.

Kredit : WSJ/Youtube

Penjara atau pusat tahanan ini yang dikenali sebagai ‘Prison Inside Me’ terletak di bandar Hongcheon, telah dibuka sejak tahun 2013 kepada orang awam yang berminat untuk memasuki ‘penjara’. Semenjak itu, kira-kira 2,000 orang telah menempatkan diri mereka selama beberapa hari di sini dan mengalami sendiri kehidupan seperti di dalam sel penjara.

Kebanyakan mereka yang memasuki penjara olok-olok ini terdiri daripada mereka yang berasa letih dengan kehidupan, pekerja pejabat yang terlebih kerja atau para pelajar yang terlalu tertekan. Rata-rata yang telah memasuki penjara ini berkata kehidupan terasing dengan persekitaran penjara boleh membantu mereka berasa bebas daripada tekanan kehidupan seharian.

Kredit : WSJ/YouTube

Bangunan yang menempatkan kesemua ‘banduan’ ini juga seperti penjara sebenar. Di dalam penjara olok-olok, setiap individu diasingkan di dalam bilik kecil yang dipanggil sel. Tiada katil disediakan, dan mereka hanya tidur di atas lantai dengan hamparan yoga.

Para ‘banduan’ yang sudah membuat bayaran dan mendaftarkan diri akan dibekalkan dengan uniform banduan berwarna biru, satu set teh bersama buku nota, pen dan kertas. Peraturan di penjara ini juga sangat ketat. Sebarang penggunaan gajet tidak dibenarkan, tiada jam untuk menunjukkan masa dan sebarang barangan peribadi juga adalah dilarang dibawa masuk. Bercakap dengan ‘banduan’ lain juga tidak dibenarkan, kecuali dengan aktiviti yang telah dirancang.

Kredit : WSJ/YouTube

Makanan yang dihidangkan amat ringkas iaitu bubur nasi untuk sarapan pagi dan keledek kukus serta minuman susu pisang untuk makan malam.

Park Hye-ri berusia 28 tahun, merupakan seorang pekerja pejabat telah membelanjakan RM373 untuk menghabiskan masa selama 24 jam di dalam ‘Prison Inside Me’. Menurutnya, pengalaman yang dialami di dalam ‘penjara’ itu memberinya ‘rasa kebebasan’ yang amat diperlukan.

Kredit : REUTERS/ Kim Hong-Ji

Menurut Hye-ri yang duduk di dalam sel berukuran 5 meter persegi, “Saya terlalu sibuk dengan kerja. Sebenarnya saya tidak patut berada di sini kerana beban kerja saya terlalu banyak. Tetapi saya telah mengambil keputusan untuk berhenti seketika dan melihat kembali kehidupan saya untuk mendapat perspektif lebih baik.”

Manakala Noh Ji-Hyang pula yang merupakan salah seorang pengasas penjara olok-olok itu berkata, dia mendapat idea membina penjara ini daripada suaminya. Suaminya yang bekerja sebagai pendakwa raya dan peguam kerajaan sering bekerja selama 100 jam seminggu. Suaminya pernah berkata, jika boleh dia ingin mengambil cuti dari bekerja dan meletakkan dirinya di dalam sel banduan yang didenda selama seminggu untuk ‘berehat dan berasa lebih baik.”

Kredit : WSJ/YouTube

Menurut Ji-Hyang, pada mulanya mereka yang datang ke penjara olok-olok ini tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk melalui pengalaman penjara luar dari kebiasaan ini. Kemudian Ji-Hyang  berkata, “Tetapi, selepas mereka tinggal di sini, kata mereka ini bukannya penjara. Penjara sebenar berada di luar sana apabila kembali kepada kehidupan mereka.”

Korea Selatan amat dikenali dengan budaya kerja kuat dan pengajian di sekolah yang mencabar dan ekstrem. Kadar bunuh diri di negara itu adalah dua kali ganda lebih tinggi dari Amerika Syarikat, dan salah satu yang tertinggi di dunia.

Kredit : REUTERS/ Kim Hong-Ji

Kajian antarabangsa dari ‘Organization for Economic Cooperation and Development’ mendapati purata jam bekerja bagi warga Korea Selatan adalah 2,024 jam pada tahun 2017. Ketiga terpanjang selepas negara Mexico dan Costa Rica.

Pakar berkata keadaan ekonomi yang sedikit menurun di Korea Selatan telah menyebabkan persaingan lebih sengit dalam sektor pekerjaan serta di sekolah dan universiti. Ramai yang berasa lebih tertekan, sehingga menyebabkan ada yang memilih untuk melarikan diri dari kehidupan sebenar buat sementara waktu dan menjalani kehidupan ala penjara di ‘Prison Inside Me’.

Lihat video di bawah.

Kredit : World Street Journal / YouTube

Sumber : World Street Journal / YouTube , VOA News , Sinchew

Share
Kategori: Aneh INSPIRASI VIDEO

Video Popular

Ad will display in 09 seconds