Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris baru-baru berkongsi kenangan hari ulang tahun peninggalan puteranya, Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim di halaman Facebook. Dan coretan Permaisuri Johor pada kali ini amat menyentuh hati para netizen.

Dengan menekankan peristiwa rusuhan yang berlaku di Kuil Maha Mariamman di Seafield, Subang Jaya, baginda meluahkan rasa dukacita ke atas sikap tidak bertolak ansur dan salah faham antara kaum yang berlaku.

Kredit : Zarith Sofiah Idris / Facebook

Baginda Permaisuri menulis, “Pada 5 Disember tiga tahun yang lalu, anakanda saya, Jalil meninggal dunia. Kami sekeluarga berasa amat sedih akan kehilangan anakanda yang kami kasihi. Tahun ini, kami masih berasa dukacita ditambah dengan kesedihan kerana berlakunya sikap tidak bertolak ansur dan salah faham antara kaum.”

“Dengan rusuhan yang berlaku di tapak kuil India di Subang Jaya baru-baru ini, di mana telah mencederakan seorang anggota bomba berbangsa Melayu, dan ketegangan antara kaum yang berlaku selepas itu, saya memikirkan kesemua rakan-rakan India saya dan kakitangan kami yang sudah menjadi sebahagian daripada keluarga kami.”

Kredit : Zarith Sofiah Idris / Facebook

Baginda Permaisuri kemudian melahirkan rasa penghormatan serta penghargaan kepada empat orang lelaki warga Malaysia berbangsa India yang memberi impak yang besar kepada kehidupan keluarganya. Pertama, dua orang doktor yang telah lama berkhidmat bersama keluarganya, iaitu Dato’ Dr. Subramanyam Balan dan Dato’ Dr. Singaraveloo yang telah merawat dan menjaga Almarhum Tunku Abdul Jalil semasa beliau bertarung dengan penyakit kanser hati. Dr. Balan juga merupakan doktor yang berada bersama keluarga mereka ketika Almarhum Tunku Abdul Jalil menghembuskan nafas terakhir.

Menurut baginda Permaisuri Raja Zarith Sofiah, “Selama bertahun lamanya, apabila suami dan anak-anak saya jatuh sakit pada waktu tengah malam, kedua-dua doktor ini akan tergesa-gesa datang untuk merawat kami. Mereka tidak mengira kekerapan atau waktu, tidak kira sebelum tengah malam atau jam 3 pagi.”

Orang ketiga yang disebut oleh baginda Permaisuri Johor ialah ‘pengasuh’ keluarga mereka yang bernama Mohan. Mohan mengajar anak-anak mereka berenang dan sentiasa menjaga keselamatan keluarga diraja, dengan setia berada di dalam air selama berjam-jam lamanya.

Kredit : Zarith Sofiah Idris / Facebook

Baginda Permaisuri menulis, “Ketika anak-anak saya masih kecil, jika suami saya bertugas di luar kawasan, saya akan meminta Mohan tinggal di rumah kami kerana khuatir tiada orang lelaki melainkan kanak-kanak dan pembantu rumah. Mohan tidak akan tidur sehingga semua kakitangan lain datang untuk bekerja pada waktu pagi. Saya mempercayai Mohan sepenuh hati untuk menjaga kami sekeluarga dengan baik.”

Kemudian, baginda Permaisuri Johor melahirkan rasa hormat dan penghargaan kepada pengiring suaminya, ADC Dato’ Sugumaran, yang menjadi teman anak bongsunya semasa mereka bercuti di England pada tahun 2009.

Kredit : Zarith Sofiah Idris / Facebook

Akhir coretan daripada baginda Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah, “Kami suami isteri mempunyai rakan daripada pelbagai bangsa. Tetapi buat masa ini kerana berlakunya ketegangan yang melibatkan kaum India di Malaysia, saya mencoret naskhah pendek ini untuk menunjukkan bagaimana kami sekeluarga menghargai perkhidmatan, persahabatan dan kesetiaan keempat orang lelaki ini. Ribuan terima kasih dari keluarga saya.”

“Semoga Allah terus melindungi negara kita dan memberi kita kedamaian serta rasa cinta di antara satu sama lain sebagai rakyat Malaysia.”

Sumber : Zarith Sofiah Idris / Facebook , World of Buzz

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds