PETALING JAYA – Sepasang suami isteri yang juga merupakan sepasang penganggur telah dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, selepas mengaku bersalah mencuri barangan makanan di sebuah pasar raya yang telah dilakukan pada 1 Februari.

Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu terhadap Hafizullah Hamidi, 39 tahun dan isterinya, Azrina Noorul Abidin, 29 tahun selepas mereka telah membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan ke atas mereka oleh jurubahasa mahkamah.

Perak Today / Gambar Hiasan

Hafizullah dan Azrina, yang mempunyai dua orang anak berusia 4 dan 8 tahun, telah didakwa atas pertuduhan mencuri sembilan peket keju jenama ‘Cheesedale’, satu bungkusan longan Thai, dan satu botol susu jenama ‘Marigold Fresh’ yang kesemuanya bernilai RM133 di Pasar Raya Aeon Sunway, Subang Jaya pada jam 7.02 malam, 1 Februari.

Pertuduhan kes dilakukan menurut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

New Straits Times / Gambar Hiasan

Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam telah membuat pengakuan bersalah dan kemudian mengemukakan rayuan supaya mahkamah meringankan hukuman ke atas mereka dengan alasan mempunyai tanggungan ke atas dua orang anak yang masih kecil.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Nor Baizura Mohd Soubian meminta mahkamah supaya memberikan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh yang pernah mempunyai rekod jenayah lampau serta kes ini membabitkan kepentingan awam.

Bernama / Gambar Hiasan

Mahkamah telah dimaklumkan, sebelum ini Hafizullah dan Azrina masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah menjalani hukuman di penjara membabitkan kes dadah.

Mahkamah memerintahkan pasangan ini menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 1 Februari.

Sumber : New Straits Times

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds